Wednesday, March 18, 2015

Sejarah Shah Alam

Shah Alam pada suatu ketika dahulu adalah sebuah ladang kelapa sawit dan dikenali sebagai Sungai Renggam. Sungai Renggam dan Batu Tiga mula berkembang setelah British membina laluan keretapi dari Port Swettenham (Pelabuhan Klang) ke Bukit Kuda di Klang dan menghubungkannya dengan Kuala Lumpur pada tahun 1886.

Kedudukan Sungai Renggam adalah strategik kerana terletak di antara Petaling Jaya dan Bandar Diraja Klang serta dihubungkan melalui satu-satunya lebuhraya pada ketika itu iaitu Lebuhraya Persekutuan dan lokasinya yang berhampiran dengan laluan-laluan utama seperti Lebuhraya Persekutuan dan Jalan Klang Lama. Pembangunannya dilakukan di atas nasihat V. Antolic, Penasihat Perancangan Bandar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Shah Alam yang pada ketika itu hanyalah ladang kelapa sawit dan hutan mula dibuka pada tahun 1963 bagi dimajukan untuk dijadikan pusat pentadbiran kerajaan Selangor yang baru setelah Kuala Lumpur dirancang untuk dijadikan Wilayah Persekutuan. Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan secara rasmi pada tanggal 1 Februari 1974, yang kemudian tarikh 1 Februari disambut setiap tahun sebagai Hari Penubuhan Wilayah Persekutuan. Kebanyakan jabatan-jabatan kerajaan negeri Selangor yang berpusat di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur  mula berpindah ke Shah Alam, terutamanya setelah siapnya Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Pada 7 Disember 1978, atas perkenan DYMM Sultan Selangor ketika itu iaitu Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Shah Alam diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor yang baharu. Malah nama 'Shah Alam' sendiri dipilih atas perkenan baginda.

 mbsa




No comments:

Post a Comment